Terbaik

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Surah Al-Hujuraat ayat 6)

Fokus

Diriwayatkan daripada Anas r.a: “ Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: ” Tidak ada seorang pun di antara kalian dipandang beriman sebelum ia menyayangi saudaranya sesama Muslim seperti halnya ia menyayangi dirinya sendiri.”(al-Bukhari)

Badan sihat otak cergas

Barangsiapa yang Allah beri petunjuk, maka tidak ada seorang pun yang dapat menyesatkannya. Dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka tidak ada seorang pun yang dapat memberikannya petunjuk.

Ceria

Senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu pengikat sahabat, senyum itu penambah kasih, senyum itu pelaris jualan, senyum itu pengiktirafan, dan yang pastinya senyuman itu membawa kebaikan.

Gembira

Sesungguhnya saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, Dialah Tuhan satu-satunya dan tiada sekutu bagi-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya.

Monday, December 30, 2013

Bantuan persekolahan RM100 diagih 15 Januari

Kuala Lumpur: Bantuan persekolahan RM100 seorang kepada 5.4 juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara akan mula diagihkan selepas 15 Januari depan. 



Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, ketika dihubungi berkata, beliau akan mengadakan sidang media bagi menjelaskan perkara itu hari ini.

Wednesday, November 13, 2013

Modul dan Bahan PLuG TMK TAHUN 4

Wednesday, October 16, 2013

Seni Kreatif Bantu Kembangkan Industri Permuziuman

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Dalam membicarakan cabaran getir yang dihadapi muzium supaya tidak pupus ditelan zaman, apakah yang sebenarnya menjadi daya tarikan ke muzium?.

Sedangkan di luar sana terlalu banyak pilihan menanti seperti pusat rekreasi keluarga, pusat membeli belah, pawagam dan sebagainya yang menawarkan pengalaman lebih menyeronokkan.

Namun keadaan itu berubah apabila kita berkunjung ke luar negara. Salah satu lokasi yang wajib dilawati adalah muzium.

SENTUHAN KREATIF PADA MUZIUM

Rata-rata orang ramai mahu melihat satu bentuk baru persembahkan ketika mengunjungi muzium. Ini termasuk penggunaan elemen-elemen muzik, warna, bentuk yang lebih segar.

Mereka mahu melihat barang-barang konvensional dipersembahkan dalam bentuk yang baru namun dalam masa yang sama mengekalkan sejarah yang ada.

Di sinilah sentuhan kreatif diperlukan dalam menyegarkan muzium terutama pada abad ke-21 yang merupakan kurun ekonomi kreatif.

Namun di negara ini muzium tidak diuruskan dengan baik untuk memberikan pulangan ekonomi, menurut Dekan Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaysia Kelantan Prof Dr Abu Hassan Hasbullah.

"Akhirnya, muzium tidak lebih daripada gudang yang diuruskan kerajaan untuk menyimpan koleksi-koleksi yang dipercayai sebagai berharga dan dipersembahkan berulang kali bagi menarik kedatangan pengunjung," katanya ketika membentangkan kertas kerja Program Bicara 50 Tahun Muzium Negara baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun wujud puluhan muzium di negara ini, namun perkembangan ilmu berkaitan seperti ilmu arkeologi tidak berlaku.

Ini juga menyebabkan muzium kehilangan kandungan, tidak menemui bentuk penyampaian yang sesuai, konvensional serta gagal membawa pendapatan buat negara, katanya.

MENJANA PENDAPATAN YANG TINGGI

Memberi contoh negara Estonia, bekas jajahan blok Soviet Union. Sepanjang penguasaan fahaman Komunis dan Sosialis, mereka sangat mengambil berat tentang fungsi muzium.

Bagi mana-mana pihak yang berhasrat membangunkan muzium, galeri, muzium swasta atau galeri-galeri besar, termasuk kedai-kedai menjual barang antikuiti, mereka diberikan insentif termasuk pelepasan cukai.

Apabila Komunisme berakhir, sekitar tahun 2005 muncul golongan intelektual di barisan kepimpinan yang mencadangkan agar Estonia membangunkan industri kreatifnya, dengan muzium Tallinn menjadi tumpuan usaha dalam menarik kedatangan pengunjung dari seluruh pelusuk dunia.

"Sebelum itu pendapatan per kapita penduduknya adalah USD5,000 setahun tetapi pada 2012 pendapatan per kapita penduduk Estonia meningkat kepada USD19,000 hasil industri kreatif itu," katanya.

Malahan dianggarkan pendapatan keseluruhan daripada muzium Tallinn sahaja sudah cukup untuk menampung perbelanjaan kerajaan Estonia bagi tempoh tujuh tahun.

Ini jauh berbeza dengan nasib muzium tanahair yang masih tidak dapat mencapai USD11,000 setahun. Ini adalah model terbaik yang boleh dicontohi dalam membolehkan muzium menyumbangkan kepada ekonomi negara, katanya.

Senario yang sama juga berlaku di Eropah barat, seperti Austria yang mempunyai lebih 21,000 galeri, lebih kurang 7,900 buah muzium peribadi hingga membolehkan kerajaan menjana USD28 juta setahun daripada pendapatan muzium.

"Ini yang kita tidak nampak dan war-warkan, bahawa muzium adalah satu bentuk perniagaan yang menguntungkan," tambahnya lagi.

UBAH KEPERCAYAAN MASYARAKAT

Jika berkunjung ke negara-negara seperti di Eropah, tiga elemen penting menentukan urbanisasi bandar iaitu muzium, perpustakaan dan universiti.

"Ketiga-tiga perkara ini menjadi elemen kekuatan mereka. Ini yang harus kita contohi terutama bagaimana membangunkan muzium untuk menjadi pusat pembangunan ekonomi masyarakat," tegas Abu Hassan.

Kekayaan seni dan budaya di negara ini merupakan peluang ekonomi yang boleh menjana pendapatan melalui industri seni kreatif. Antaranya di Kelantan yang terkenal dengan seni tekstilnya terutama batik dan songket.

Menurut beliau, bermula dari persisir monsun di Tok Bali, Besut sampai ke Mersing, kembali ke Tok Bali, Tumpat dan Thailand yang mana setiap daerah boleh dikatakan menghasilkan karya yang sangat tinggi nilainya.

"Daerah Tok Bali hingga ke Tumpat, di sana terdapat pengusaha seni ukiran, wayang kulit, tekstil, busana, pemain lagu-lagu rakyat dan pelbagai lagi.

"Kajian yang saya lakukan, sekiranya semua hasil seni ini dipasarkan dengan sempurna, boleh menjana pendapatan sebanyak RM13.7 juta setahun," katanya.

Kelemahan industri permuziuman di negara ini menyebabkan, masyarakat tidak nampak jalan untuk mengembangkan ekonomi menggunakan khazanah sejarah.

GALERI DAN MUZIUM PERIBADI

Abu Hassan menceritakan pengalamannya akan proses 'mengewang' elemen sejarah semasa menyambung pengajian di peringkat doktor falsafah di Austria.

"Pada hari pertama pendaftaran persekolahan anak saya, pihak sekolah telah merekodkan data peribadi anak termasuk mengambil gambarnya untuk simpanan sekolah.

"Masuk tahun ke lima di sekolah itu, pada hari bertemu ibu bapa, cikgu menunjukkan biografi sepanjang lima tahun anak saya belajar di sekolah itu, kerja-kerja yang dilakukan termasuk baju anak saya yang koyak ketika bermain bola," katanya yang terkejut kerana tidak menyangka pihak sekolah mempunyai inisiatif sebegitu.

Lebih mengejutkan apabila beliau mendapat tahu sekolah itu membina satu galeri khusus menyimpan sejarah pelajar-pelajar warga asing yang bersekolah di situ.

Setelah beberapa tahun kembali ke tanah air, pada tahun lepas beliau kembali ke Austria dan ke sekolah tempat anaknya belajar dahulu.

Ketika meminta kebenaran kepada pihak sekolah untuk melihat kembali biografi anaknya itu, beliau telah dikenakan bayaran.

"Itulah cara pihak sekolah menjana pendapatan bagi membantu pembangunan dan aktiviti pelajar di sekolah. Ini adalah contoh yang boleh kita ambil bagaimana negara maju telah memikirkan ilmu permuziuman ini sebagai sumber pendapatan di semua peringkat," katanya.

-- BERNAMA

Zakat Membawa Keberkatan Hidup

KUALA LUMPUR (Bernama) - "Ambillah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka daripada dosa dan mensucikan mereka daripada akhlak yang buruk.

Doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan ingatlah Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui" (At Tawbah: 103).

Begitulah pentingnya salah satu rukun Islam yang lima dalam kehidupan umat Islam. Zakat bukan sahaja dapat mententeramkan hati dalam mengejar keberkatan hidup malah dapat berkongsi sedikit kesenangan bersama golongan asnaf yang memerlukan.

Oleh yang demikian, ibadah zakat yang wajib adalah dengan membahagikan harta kekayaan golongan kaya yang berkemampuan kepada golongan miskin mengikut peraturan dan landasan yang diletakkan oleh syarak.

Zakat terdiri daripada Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Saham, Zakat KWSP, Zakat Emas, Zakat Perak, Zakat Pertanian dan Zakat Penternakan.

ZAKAT KINI - MUDAH, DAN MENJIMATKAN MASA

Atas rasa tanggungjawab dan melihatkan kepentingan itu sendiri, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah memperbanyakkan medium membuat pembayaran bagi memudahkan masyarakat untuk melunaskan tanggungjawab.

Masyarakat kini boleh memilih medium yang sedia ada seperti kaedah pembayaran zakat melalui online, melalui skim potongan gaji, perbankan internet, kad kredit dan juga menerusi kaunter zakat bergerak.

KAUNTER ZAKAT BERGERAK

Pelbagai program dilaksanakan PPZ-MAIWP melibatkan syarikat swasta dan kerajaan bagi memudahkan orang ramai berzakat antaranya melalui kaunter zakat bergerak.

Menurut Pegawai Kanan Perhubungan Awam PPZ-MAIWP, Nur Haliza Abd Rahman; "Setiap hari, kaunter bergerak kami akan ke agensi-agensi kerajaan dan swasta dari pagi hingga ke petang untuk memberi kemudahan kepada kakitangan yang ingin berzakat. Kita telah bermula pada tahun lepas dan sambutan yang diterima amat menggalakkan".

Selain itu, kaunter bergerak ini turut datang atas permintaan mana-mana syarikat kerajaan dan swasta dan juga turut turun ke lokasi seperti di pasar-pasar malam, masjid dan pusat membeli belah khususnya pada hujung minggu.

AKTIVITI ZAKAT

Jom Jadi Sahabat Zakat merupakan salah satu program terbaru yang dapat memberi kelebihan dan manfaat kepada peserta-peserta yang menyertainya.

"Kami menyambut baik penyertaan orang ramai melalui program Jom Jadi Sahabat Zakat yang mana kempennya berlangsung dari 16 Sept hingga 17 Okt ini dan yang pastinya pelbagai kelebihan menanti mereka", ujar Nur Haliza lagi.

Baru-baru ini juga telah berlangsung program "Ustazah Pilihan" bersama PPZ-MAIWP dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Di Lobi MIDA Sentral, Kuala Lumpur dengan Ustazah Nurul Hidayah Kamarudin, Pegawai Zakat di PPZ-MAIWP menyampaikan ceramah yang bertajuk " Barakah Dalam Harta".

KEBERKATAN HIDUP

Jika sebelum ini, ramai yang membuat pengiraan sendiri menggunakan sistem online, namun dengan adanya "Skim Thohir" yakni pemotongan gaji, masyarakat akan lebih yakin dengan pengiraan yang dilakukan oleh pihak zakat.

"Sebelum ini, saya memang membayar zakat namun ianya mengikut pengiraan sendiri iaitu sebanyak RM50 sebulan. Namun setelah berjumpa dengan pihak zakat, barulah saya sedar rupanya bayaran sepatutnya lebih daripada itu. Jadi saya rasa lebih yakin dan lebih berkat", kata kakitangan MIDA, Norhana Ab. Rauf, 47.

Sementara itu, Anggota Jawatankuasa Kebajikan, Kerohanian dan Sahsiah MIDA, Mohamad Farhan Mansor, 33, program ini berlangsung atas permintaan kakitangan MIDA sendiri.

Ia menunjukkan perkembangan yang sangat positif dalam mendekatkan diri dengan tanggungjawab sesama Islam dan kepada agama khususnya.

Orang ramai yang ingin membuat rujukan dan berurusan dengan Pusat Rujukan Zakat, boleh menghubungi talian 1 300 88 5757 atau merujuk di laman web www.zakat.com.my.

-- BERNAMA

Monday, September 30, 2013

Khemah jemaah haji di Mina ditambah

MEKAH 29 Sept. - Jurucakap pentadbiran Mekah, Sultan al-Dossary berkata, jabatan pentadbiran kerajaan di Mina akan dipindahkan ke kompleks baharu di Muzdalifah tidak lama lagi, sekali gus membolehkan lebih banyak khemah untuk jemaah haji dibina.
Katanya, pemindahan itu bakal mewujudkan 23 peratus kawasan lebihan dan dapat menampung pertambahan 185,000 jemaah haji pada tahun ini.
"Fasa pertama pembinaan komplek pentadbiran baharu itu telah siap dan kebanyakan agensi kerajaan akan dipindahkan dalam tempoh terdekat.
"Gabenor Mekah, Putera Khaled al-Faisal akan memeriksa bangunan baharu itu, yang terletak di sempadan Muzdalifah pada Isnin ini, sebelum kebenaran pindaan dibuat," katanya yang dipetik oleh Saudi Gazette.
Sultan berkata, komplek pentadbiran baharu itu memiliki 13 bangunan, 3,200 ruang pejabat, unit kediaman dan satu tangki air besar.
Lebih 600,000 jemaah telah pun tiba di negara ini untuk menunaikan ibadah haji musim ini yang akan bermula pada 13 Oktober ini.
Lebih dua juta jemaah haji dari seluruh dunia akan membanjiri tanah suci Mekah dan Madinah untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini.
Khaled turut mengarahkan 15 agensi kerajaan mengambil langkah-langkah pencegahan ekoran kemungkinan berlakunya banjir ketika musim haji kali ini.
Jabatan Meteorologi dan Alam Sekitar meramalkan Mekah dan Madinah kemungkinan dilanda musim hujan ketika musim haji ini. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130930/lu_02/Khemah-jemaah-haji-di-Mina-ditambah#ixzz2gL6iKWRp
© Utusan Melayu (M) Bhd